Boboi akur tewas juara Maharaja Lawak Mega

Kumpulan Osborn diapit Naib Juara, Boboi; tempat ketiga, Saehu dan pemenang keempat, Syok pada Pertandingan Akhir Maharaja Lawak Mega di Stadium Melawati Shah Alam, kelmarin.
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik menerima kenyataan biarpun mereka tewas daripada menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) kepada kumpulan Osbon malam semalam.
Menurut Afdlin, biarpun Boboi disebut-sebut sebagai saingan terdekat Osbon, dia akur dengan keputusan yang markahnya ditentukan 70 peratus daripada para juri dan 30 markah lagi khidmat pesanan ringkas (SMS) peminat dan menyifatkannya keputusan yang tepat.
"Saya akui Osbon lebih senior daripada kami misalnya Os yang sudah 27 tahun terbabit dalam bidang lawak jenaka. Kalau kami mahu menyamai Osbon pun, kami memerlukan masa tujuh tahun lagi," katanya selepas pertandingan itu di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.
Pada pertandingan Astro Warna itu, Osbon muncul juara MLM dengan merangkul hadiah wang tunai RM350,000 diikuti Boboi sebagai naib juara (RM250,000), tempat ketiga Saehu (RM150,000) dan tempat keempat, Syok (RM50,000).
Sementara itu, Os yang mewakili Osbon berkata, dia tidak mahu mendabik dada sebagai kumpulan pelawak senior sebaliknya, hanya melakukan persembahan terbaik pada final pertandingan tersebut.
"Walau berada di tempat ke berapa sekali pun, kami hanya akan melakukan yang terbaik dan alhamdulillah nasib dan rezeki menyebelahi kami," katanya.

No comments:
Post a Comment