Saturday, 31 December 2011

'Merancang dan bekerja keras'




Warga kota membanjiri Dataran Merdeka bagi menyambut Ambang 2012 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, malam tadi. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam merealisasikan masa depan yang lebih baik bagi negara.
Menurut Perdana Menteri, ia bukanlah sekadar mimpi sebaliknya boleh dirangkul jika seluruh rakyat Malaysia sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.
''Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan dan bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah.
''Selamat tahun Baru 2012," katanya dalam perutusan tahun baru 2012 seperti yang disiarkan menerusi laman blog 1Malaysia di http://www.1malaysia.com.my hari ini.
Dalam perutusan yang sama, Najib turut menyifatkan 2011 sebagai tahun yang amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya "roll out" inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi Nasional (2011-2020) dan pengenalan siri keempat Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) semenjak ia mula diperkenalkan pada 1971.
Kata Najib, Dasar Transformasi Negara yang merupakan komponen terakhir dalam usaha merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Beliau berkata, ia diikuti dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar.
''Kesemua inisiatif dasar itu bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual, ia akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru.
''Sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar," katanya.
Dalam masa sama, kata Najib, kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana ia merupakan kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.
Kata beliau, ia juga merupakan usaha kerajaan demi generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan dan bukannya kemuraman.
''Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini," katanya.
Begitu pun tambah Najib, kerajaan percaya untuk membina sebuah Malaysia yang baharu, negara tidak boleh terus terperangkap dengan bebanan sejarah lampau.
Kerana itu kata beliau, di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Negara misalnya, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat yang berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang lalu.
Dengan semangat yang sama katanya, kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan beberapa Akta yang berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011.
Katanya, langkah itu bagi menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan.
"Usaha ini akan diteruskan dalam sesi Parlimen tahun depan bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan," katanya.

No comments:

Post a Comment