Friday, 30 December 2011

Dagangan Malaysia, Singapura positif

Tambak Johor merupakan penghubung penting perdagangan antara Malaysia dan Singapura.


SINGAPURA 30 Dis. - Perdagangan dua hala Malaysia-Singapura tahun ini dijangka positif sekali lagi dengan pertumbuhan dua angka di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang tidak menentu berikutan pemulihan Amerika Syarikat (AS) yang lembap dan krisis hutang zon Eropah.
Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi Singapura, Naim Abdul Rahman berkata, perdagangan keseluruhan Malaysia dengan Singapura bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini telah meningkat 11.8 peratus berbanding tempoh yang sama 2010.
"Ini disumbang oleh peningkatan eksport dan import yang masing-masing meningkat 4.6 peratus dan 21.7 peratus.
"Eksport ke Singapura bernilai RM73.31 bilion manakala import RM61.41 bilion," katanya kepadaBernama.
Produk elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi eksport utama Malaysia ke Singapura pada nilai RM26.89 bilion atau 36.7 peratus daripada keseluruhan eksport.
Ia diikuti oleh petroleum bertapis (RM16.08 bilion, 21.9 peratus); jentera, peralatan dan alat ganti (RM3.80 bilion, 5.2 peratus), logam di kilang (RM3.41 bilion, 4.7 peratus) dan kimia dan produk kimia (RM3.07 bilion, 4.2 peratus).
Walaupun eksport E&E ke Singapura turun berikutan kemelesetan permintaan dunia, Naim berkata, ia diseimbangkan oleh pertumbuhan barang yang dikilang.
Katanya, kadar pertumbuhan eksport yang signifikan dicatatkan oleh peralatan pengangkutan yang berkembang 40.7 peratus; petroleum bertapis (37.4 peratus); minyak sawit (31.1 peratus); besi dan produk keluli (19.1 peratus); dan peralatan optik dan saintifik (12.2 peratus).
Naim berkata, Singapura terus menjadi rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia selepas China.
"Dari Januari hingga Oktober tahun ini, perdagangan negara bandar itu mencecah RM134.72 bilion atau 12.8 peratus daripada perdagangan keseluruhan Malaysia dengan dunia yang dicatatkan RM1.05 trilion," katanya.
Republik itu katanya, pernah menjadi rakan perdagangan Malaysia yang terbesar pada 2008, pada tahun ekonomi AS mulai merosot.
Bagaimanapun, China memotongnya dari 2009 sehingga sekarang, katanya.
Naim berkata, Singapura telah menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia selama hampir sedekad tetapi ini akan dipotong oleh China jika momentumnya untuk meningkatkan import dari Malaysia meningkat bagi baki tempoh tahun ini.
Katanya, eksport Malaysia ke China bagi tempoh itu dicatatkan RM76.49 bilion, melepasi eksport ke Singapura sebanyak RM3.18 bilion.
Tanpa mengambil kira perkara berkenaan, Naim berkata, Singapura terus menjadi destinasi pilihan eksport produk dan perkhidmatan syarikat Malaysia kerana pelbagai faktor seperti berdekatan, saling melengkapi, saling berkaitan dan mudah melakukan perniagaan di negara masing-masing.
"Perkara yang sama terpakai bagi syarikat Singapura di mana Malaysia sentiasa berada pada senarai destinasi teratas bagi mereka untuk melakukan perniagaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment